#AboutKL / News  / Bukit Keteri Tarikan Baharu Pelancongan Perlis

Bukit Keteri Tarikan Baharu Pelancongan Perlis

KANGAR – Keindahan panorama alam serta keunikan gua batu kapur yang terdapat di negeri ini merupakan tarikan utama yang merancakkan lagi sektor pelancongan Perlis.

Pengarah Tourism Malaysia Perlis Razaidi Abd Rahim berkata, antara destinasi baharu yang giat dipromosi sebagai tarikan pilihan pelancong ialah Bukit Keteri, dekat Chuping yang antara lain turut mempromosi aktiviti sukan lasak terutama sukan memanjat batu.

“Tourism Malaysia Perlis menerusi pakej ‘Perlis Nature’ menyediakan pelbagai tawaran berkonsep ekopelancongan kepada para pengunjung.

Di samping memelihara keindahan alam, kita mahu Perlis menjadi pilihan orang ramai yang gemarkan suasana yang jauh daripada kesibukan kota serta menjadi syurga buat pendaki yang gemarkan aktiviti lasak,” katanya selepas demonstrasi pendakian gua batu kapur bersama media di Bukit Keteri di sini, Ahad lepas.

Menurut Razaidi, selain mempunyai tarikan suasana hijau dan keindahan panorama matahari terbenam, Bukit Keteri juga menjadi pilihan para pendaki daridalam dan luar negara kerana dipercayai memiliki laluan paling sukar di Asia untuk sampai ke puncak.

“Selain pendaki tempatan, Bukit Keteri juga sering dikunjungi pendaki dari Australia, Switzerland dan Jerman kerana mempunyai skala cabaran pendakian yang pelbagai serta terdapat ruang terbesar di dalamnya yang mampu memuatkan sebuah jet jumbo,”katanya.

Seramai enam pengamal media menyertai demonstrasi tersebut telah dibawa mendaki menerusi beberapa laluan daripada keseluruhan 54 laluan pendakian di bukit tersebut dengan bimbingan lima anggota kelab ‘Perlis Climbers’ bagi merasai sendiri pengalaman lasak berkenaan. 

Kesemua pemberita itu turut dibawa mendaki tebing gua batu kapur itu menerusi laluan yang diberi nama sempena pelopornya iaitu Raja Muda Perlis,Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menuju ke laluan ‘Belly Button Window’ pada ketinggian 35 meter dari aras laut. 

 

Ditulis oleh: BeritaRTM
Published in: Nasional
url: http://berita.rtm.gov.my/index.php/nasional/11025-bukit-keteri-tarikan-baharu-pelancongan-perlis

Likes(0)Dislikes(0)

No Comments

Leave a Reply

Partners & Affiliates